Isnin, 12 Disember 2016


Amalkan budaya Senyum dan Salam

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


SENYUM, SAPA DAN SALAM DI SEKOLAH

Seorang pendidik bukan sahaja dikenali dengan nama panggilan guru,cikgu,ustaz atau ustazah sahaja, tetapi ianya juga dikenali dengan akhlak dan peribadinya yang baik dan terpuji, serta menjadi contoh kepada orang lain, baik kepada anak-anak murid, ibu bapa, rakan sesama pendidik serta masyarakat.

Mewujudkan budaya positif dalam suasana sekolah bukanlah satu perkara yang boleh dianggap remeh dan tidak penting, kerana pada hakikatnya, ianya sangat penting dalam mewujudkan pelbagai kesan yang positif dalam sesuatu situasi rutin harian di sekolah.

Antara salah satu contoh sikap baik yang boleh dibudayakan dalam membina satu suasana positif di sekolah ialah amalan memberikan senyuman serta ucapan salam kepada semua, tidak mengira jawatan, status, kedudukan, malah kepada siapa sahaja sama ada individu tersebut adalah warga sekolah kita ataupun pelawat dari luar.

Sebagai seorang pelajar,anda perlu membiasakan dan membudayakan amalan ini sejak dari pengajian lagi dan kemudian mengamalkannya di luar daripada kawasan sekolah.

Dalam konteks amalan budaya postitif memberi senyum dan salam di sekolah,semua pelajar perlu untuk membiasakan diri untuk memberi kedua-dua pemberian yang percuma dan mudah ini kepada sesiapa sahaja, sebagai tanda kita menghormati individu yang menerima pemberian kita itu serta sebagai salah satu cara untuk kita bersosial dengan baik dan mudah sesama komuniti di sekolah kita. 

Secara tidak langsung, amalan seperti ini dapat memupuk budaya mesra antara guru dengan pelajar dan  seluruh warga sekolah, tanpa mengira kedudukan, biarlah kita memberi senyum dan salam ini sebaiknya kepada semua tanpa mengira siapa mereka. Berilah senyum dan salam kepada rakan-rakan, guru, staf sokongan, pegawai-pegawai yang lain seperti pegawai keselamatan, pekerja keceriaan, pelawat yang datang dari luar dan sebagainya.


Dengan wujudnya budaya positif ini di dalam komuniti sekolah kita, ianya sedikit sebanyak dapat menggambarkan bahawa guru-guru, pelajar dan seluruh warga sekolah kita adalah positif dan menunjukkan contoh dan akhlak yang baik di mata orang lain dan sekaligus dapat menaik dan mengharumkan nama sekolah khususnya hanya dengan pembudayaan amalan yang seperti ini. 

Semoga dengan sedikit peringatan ini dapatlah hendaknya dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita, bukan sahaja di dalam sekolah, bahkan turut dijadikan amalan di luar sekolah, di rumah kita bersama keluarga dan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa. 

Itulah peranan kita sebagai seorang pendidik dan pelajar, memulakan sesuatu yang baik dari bangku sekolah, kemudian yang baik itu dibawa ke luar dan seterusnya diperkembangkan di tengah-tengah kehidupan masyarakat.

Untuk renungan dan penghayatan bersama :

Sabda Nabi Muhammad SAW , 

“Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.”
 
(HR Tirmizi dan Abu Dzar)

“Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah.”
(Hadis Riwayat Trimidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi)

SENYUM, SAPA DAN SALAM DALAM KEHIDUPAN

Dalam membina hubungan dengan rakan-rakan atau masyarakat sekeliling, baik  persekitaran tempat kerja, persekitaran tempat tinggal atau tempat-tempat kita berinteraksi dengan orang ramai, sangatlah penting dalam penerapan Senyum, Sapa dan Salam ini.

Dengan memberikan senyuman yang tulus kepada orang yang mempunyai hubungan dengan kita, akan membuat hubungan itu akan terasa lebih akrab, akan membawa keceriaan dalam kehidupan dan menambah keakraban dengan orang yang ada disekitar kita. Bila kita mudah untuk memberikan senyuman yang tulus bagi orang lain, tentunya orang lain akan menganggap kita adalah orang yang paling MANIS atau orang paling cantik. Dengan memberikan senyuman yang tulus, wajah kita akan kelihatan lebih muda, kerana adanya regangan otot pada wajah kita semasa melontarkan sebuah senyuman kepada orang lain. Senyuman tersebut  akan memberikan pencerahan bagi orang lain yang menerima senyuman kita tersebut, ia juga sangat berguna pada diri kita sendiri.Sebuah senyuman dapat mengubati hati yang terluka.



Sewaktu kita dalam kesedihan, cubalah membuat senyuman yang tulus, pasti hati kita akan lebih dikuatkan lagi dan akan mampu dalam menghadapi persoalan kehidupan kita. Semasa rakan kita sedang terluka dan sedang merasa disakiti, semasa dia bertemu dengan kita dan dia cuba untuk membahagikan kesusahannya kepada kita, cubalah kita untuk tersenyum tulus, bukan senyum yang dibuat-buat, pasti senyuman tersebut akan membuat hatinya bawah naungan dan tenteram atas segala gelodak jiwa dan masalah yang terjadi pada dirinya.




Disamping senyuman, Sapa dan Salam juga sangat berguna untuk membina hubungan yang baik dengan orang-orang disekitar kita. Sebuah sapaan dan salam yang tulus dan berkomunikasi boleh membuat ketenteraman orang-orang yang menerima sapa dan salam dari kita.



Ucapan  Assalamualaikum, Selamat Pagi, Selamat Siang, Selamat Malam, kepada orang yang berada disekitar kita, akan menambah keakraban dalam persekitaran kita. Sapa dan Salam ini juga sangat berguna untuk pasangan hidup kita. Semasa bangun pagi, dengan penuh senyuman tulus, cubalah menyapa pasangan kita, "Selamat Pagi Papa / Mama" pasti pasangan kita juga akan lebih bersemangat lagi untuk menyambut sapaan tersebut, dan sudah pasti rasa kasih sayang akan sentiasa bertambah setiap masa. Begitu juga  kepada anak-anak kita, Sapa dan Salam juga sangat diperlukan untuk menambah kedekatan diri kita dengan mereka. Mereka juga merasa dihargai dan merasa lebih akrab dengan kita sebagai ibu bapa mereka. 
Jadi,  senyumlah untuk kebahagiaan dalam kehidupan!!!!




Video ini untuk tontonan semua .....💜💛💜💜

Isnin, 14 November 2016

kepentingan moral dalam kehidupan

kepentingan Moral          


          Kesibukan dalam mengharungi kehidupan moden yang lebih berprinsipkan kepada pertimbangan materialistik ada kalanya manusia terlupa bahawa ada manusia lain yang hidup di sekeliling kita. Manusia kini menjadi begitu rakus  sehingga membuat sesuatu pertimbangan melebihi nafsu daripada akal fikiran yang telah dianugerah oleh tuhan untuk menilai sesuatu perkara sama ada baik atau buruk sebelum membuat keputusan. Akibatnya manusia lebih mementingkan diri sendiri seterusnya melupakan tanggungjawab dan kewajipan untuk hidup dalam keluarga,agama ,masyarakat dan Negara.

          Moral adalah penting dalam kehidupan manusia kerana ia dapat membantu manusia untuk mengenali mana yang benar atau mana yang salah. Ianya berkaitan dengan kesedaran tentang kekuatan yang mantap. Kombinasi ini akan melahirkan corak pilihan yang baik atau buruk. (Tam Yeow Kwai, 1996) Kepentingan moral ini dapat dilihat dari segi individu,keluarga,masyrakat dan bangsa.
Secara individu seseorang yang bermoral akan merasakan kehidupan aman dan sejahtera. Bagi menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera manusia perlukan kasih sayang, keselesaan, kedamaian, dan kestabilan. Sehubungan dengan itu, manusia mesti patuh kepada prinsip-prinsip kemoralan yang akan membawa kepada sikap bekerjasama diantara satu sama lain yang dapat menghindarkan diri daripada rasa takut dan kehilangan nyawa, dihina, dicuri harta bendanya, ditipu, disekat kebebasannya dan ditindas. Jadi sikap moral itu adalah asas untuk manusia hidup. Individu yang bermoral akan disenangi oleh masyarakat, apabila melakukan sesuatu aktiviti masyarakat akan memilih orang yang mempunyai sifat moral yang tinggi kerana mereka lebih dipercayai dalam melakukan sesuatu perkara dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat tidak akan memilih individu yang tidak bermoral dalam melakukan sesuatu perkara kerana mereka tidak mempercayai.

         
          Tidak dapat dinafikan kesedaran bahawa manusia itu makhluk yang dijadikan Tuhan dan menikamati segala rahmat-Nya  menjadi asas utama untuk manusia itu bermoral. Setiap manusia yang waras sentiasa menyedari bahawa adalah lebih baik untuk membuat kebaikan daripada membuat kejahatan yang akan membawa kesukaan kepada diri sendiri dan sesuatu kebaikan yang dilakukan itu pasti mendatangkan kepuasan dan kesejahteraan kepada dirinya sendiri . Sebaliknya satu-satu kejahatan yang dilakukan lambat laun akan membawa akibat buruk kepada dirinya sendiri. Seseorang yang bermoral ialah seseorang yang telah menunaikan peranannya dengan berkesan. (Eow Boon Hin , 2003).

          Kepentingan moral dalam kekeluargaan pula ianya akan menjadikan sesebuah keluarga itu dapat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram. Ini kerana segala masalah yang timbu daripada masalah delinkuen tidak akan terjadi. Keadaan emosi yang stabil dalam setiap ahli keluarga dapat mewujudkan suasana mesra, tolak ansur, bertanggungjawab akan menyebabkan kerukunan rumah tangga akan berkekalan. Hasilnya jurang generasi antara anak dan ibu bapa tidak akan berlaku. Oleh itu, keluarga dapat hidup aman kerana segala keperluan dapat dipenuhi seperti pengeluaran dan pengagihan barang.
Manakala bagi masyarakat dan negara ianya dapat mewujudkan masyarakat yang harmonis dan progresif. Ini kerana sifat kemoralan yang ada pada diri masyarakat dapat memupuk persefahaman , bertimbang rasa, tolong-menolong dan lain-lain lagi nilai yang baik. Dengan adanya individu, keluarga dan masyarakat yang mempunyai nilai moral yang tinggi telah menjadikan negara Malaysia terkenal di seluruh dunia yang mana budi bahasanya  rakyatnya adalah diantara satu simbol negara yang sangat dikagumi walaupun negara sudah moden dan membangun.